Brought to you by BERNAMA

   

Rabu, 27 Ogos 2014 
 

 

 

 
 
More sharing of information and close to cooperation among countries in Southeast Asia will help reduce incidences of smuggling and piracy
Agree
Disagree
Not sure
 
 
     
 
JLM Memastikan Kelancaran Trafik Kapal Di Selat Melaka
March 21, 2013 13:39 PM

Kurniawati Kamarudin

Ini adalah bahagian kedua daripada rencana dua siri mengenai Jabatan Laut yang berperanan mengurus aspek keselamatan pelayaran di perairan negara.

PELABUHAN KLANG, 21 Mac (Bernama) -- Umum mengetahui bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah agensi yang bertanggungjawab dalam menyelaras segala aspek pengangkutan di seluruh negara bagi memastikan pemandu sentiasa berhemah dan menggunakan kenderaan yang selamat.

Namun di laut, peranan itu digalas oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi mengawal selia aktiviti perkapalan dan menentukan sistem perhubungan laut di perairan negara selamat dilalui.

Ini termasuk pemeriksaan kapal, persijilan, pendaftaran dan pelesenan selain memberikan perkhidmatan perkapalan kepada kapal-kapal yang masuk ke perairan dan pelabuhan.

Selain berperanan menjaga dan menyelenggara rumah api, ramai yang kurang mengenali dan memahami tugas serta fungsi JLM, yang kini menuju sebagai peneraju bertaraf dunia dalam bidang keselamatan maritim dan perlindungan persekitaran marin menjelang 2020.

JAGA LALUAN SIBUK DI SELAT MELAKA

Peranan JLM menjaga keselamatan dan menyelia trafik di sepanjang perairan Selat Melaka yang menjadi antara laluan perkapalan paling penting dan strategik di dunia tidak boleh dipertikaikan.

Selat Melaka adalah nadi kepada dagangan dan pengangkutan antarabangsa setaraf dengan Terusan Suez di Mesir dan Terusan Panama di Panama, Amerika Tengah yang menjadi laluan puluhan ribu kapal termasuk kapal kargo dan kapal minyak setiap tahun.

Ia menyediakan laluan kepada setengah daripada bekalan minyak dunia dan sepertiga daripada dagangannya. Kepentingan ini menjadikan isu keselamatannya sebagai topik hangat yang menarik perhatian dunia terutama isu lanun yang menjadi masalah utama di Selat Melaka sejak dari zaman Kerajaan Melayu Melaka sehingga sekarang.

Namun, empat tahun kebelakangan ini hampir tiada langsung kes ancaman lanun terhadap kapal dagang yang melalui kawasan perairan ini.

Selain pemantauan berterusan oleh agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, ia juga dibantu daripada pemasangan menyeluruh sistem pengesanan automatik yang diintegrasikan melalui sistem Vessel Traffic System (VTS).

Pergerakan dan maklumat kapal di perairan negara dapat diperoleh menggunakan peralatan radar, radio dan sistem pengurusan data.

Kaedah ini turut membantu mengenalpasti kehadiran lanun yang dahulunya sering mengancam keselamatan di Selat Melaka, menurut Ketua Pengarahnya Datuk Kapten Ahmad Othman.

VTS

Menjelas lanjut fungsi VTS, Ahmad berkata kapal-kapal yang melayari kawasan operasi VTS akan dipantau dengan menggunakan sistem pengesanan dan dikenalpasti dengan penggunaan "call sign" mereka.

VTS di Selat Melaka dan Singapura dibahagikan kepada sembilan sektor yang mana sektor 1 hingga 5 dikendalikan oleh VTS Klang, Sektor 6 oleh VTS Johor manakala Sektor 7 hingga 9 dikendalikan VTS Singapura.

"Tujuan Skim Pemisahan Trafik atau TSS bagi memastikan kapal-kapal belayar dengan selamat di sepanjang Selat Melaka terutama di kawasan keluar masuk ke pelabuhan-pelabuhan yang sibuk seperti Pelabuhan Klang, Port Dickson dan Sungai Udang.

"Gabungan TSS dan pemantau VTS dapat memantau lebih dekat kapal-kapal tersebut dan amaran mudah dikeluarkan bagi mengelak berlakunya kemalangan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Setiap sektor diawasi oleh seorang pegawai melalui skrin sistem VTS 24 jam sehari yang akan memantau kapal yang belayar dari satu sektor ke sektor lain.

Sekiranya terdapat kapal yang berada dalam situasi yang mungkin berlaku perlanggaran atau kemalangan, petugas VTS akan memberi amaran lebih awal berhubung situasi itu agar kapal-kapal dapat mengambil tindakan untuk mengelak perlanggran atau kemalangan.

KURANGKAN RISIKO KEMALANGAN

Menurut Ahmad, JLM juga menyediakan kemudahan sistem pengenalan automatik (AIS), yang dipasang di kapal-kapal, akan mudah memastikan kedudukan dan pengenalan kapal-kapal.

Dengan itu, kapal-kapal dapat melihat kapal lain di sekeliling mereka seterusnya mengelakkan insiden perlanggaran kapal.

Ahmad berkata JLM turut melatih petugas VTS ke tahap lebih tinggi dengan kecekapan yang setara dengan keperluan antarabangsa.

"Kita juga memastikan pelaut-pelaut yang mengemudi kapal-kapal mempunyai kecekapan yang setara dengan konvensyen antarabangsa sebelum dibenarkan menjawat jawatan di atas kapal dagang," ujarnya JLM kini mempunyai 1,783 kakitangan di seluruh negara.

PENGUATKUASAAN JLM

Setiap kapal dagang yang melalui Selat Melaka perlu membuat laporan kepada pusat kawalan VTS.

Apabila kapal tiba di pelabuhan, pemeriksaan dilakukan mengikut Laporan Kapal Mandatori di Selat Melaka dan Singapura yang mula dikuatkuasakan pada 1 Des, 1998.

Ia bagi memastikan kapal mematuhi peraturan dan laluan yang ditentukan ketika melalui Selat Melaka, katanya.

Menurut statistik JLM, lebih 70,000 kapal termasuk kapal dagang yang membawa minyak, kargo, kapal tentera dan kapal nelayan melalui Selat Melaka setiap tahun.

Pada tahun lepas, sebanyak 75,477 kapal termasuk 4,677 dari Malaysia melalui Selat Melaka.

"Pemeriksaan berkala ke atas kapal Malaysia dilakukan bagi memastikan ia selamat sebelum dibenarkan belayar," katanya.

BOYA

JLM turut menyelenggara dan menguruskan alat-alat bantuan pelayaran seperti rumah api, Tanda Arah Suar dan pelampung pandu atau boya.

Ujarnya boya berfungsi sebagai penanda alur pelayaran yang selamat untuk dilalui kapal-kapal. Penyelenggaraannya dilakukan sekali setahun dengan mengangkatnya ke darat menggunakan kapal-kapal penyelenggaraan boya.

"Boya gantian akan diletak menggantikan boya yang diangkat untuk diselenggara. Kerja-kerja penyelenggaraan di darat dilakukan seperti mencuci dan membuang teritip, baiki badan boya serta kerja-kerja mengecat.

"Setelah siap ia akan diletakkan ke tempat yang ditentukan," katanya dan menambah bahawa lebih 200 boya ditempatkan di sepanjang perairan Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA

 
  Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved. Disclaimer.