Brought to you by BERNAMA

   

Khamis, 24 April 2014 
 

 

 

 
 
More sharing of information and close to cooperation among countries in Southeast Asia will help reduce incidences of smuggling and piracy
Agree
Disagree
Not sure
 
 
     
 
Tindakan Bersama Dan Bersepadu Perlu Untuk Atasi Pelanunan
December 06, 2011 21:51 PM

LANGKAWI, 6 Dis (Bernama) -- Penyelesaian isu berkaitan pelanunan memerlukan tindakan bersama dan bersepadu banyak pihak kerana kegiatan itu kini disokong oleh rangkaian jaringan terperinci dari segi pembiayaan, perancang dan ketua kumpulan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sejak hujung tahun 1990-an, beberapa rompakan bersenjata dilaporkan di sekitar Laut China Selatan, Selat Melaka dan Singapura.

Bagaimanapun menurutnya menerusi beberapa tindakan yang diambil dengan kerjasama dan sokongan dari negara-negara pesisir laut yang berkepentingan, jumlah kes-kes itu berjaya dikurangkan dengan drastik.

Menurutnya pasukan Peninjau Selat Melaka, atau dikenali sebagai MSP, yang dilancarkan bersama oleh Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand pada tahun 2004, jelas merupakan tindakan yang tepat.

"Paling penting, ia adalah manifestasi kerjasama rapat di kalangan negara-negara pesisir pantai dalam memastikan keselamatan salah satu selat paling sibuk di dunia, Selat Melaka," katanya.

"Malangnya masalah itu menular di tempat lain pula, paling ketara di sekitar laut Somalia, Teluk Aden dan Lautan Hindi," katanya semasa berucap di majlis mengalu-alukan Persidangan Meja Bulat Panglima-panglima Tentera Laut di sini Selasa.

Taklimat bertajuk "Keselamatan Maritim di Teluk Aden: Meningkatkan Kerjasama dan Kolaborasi" diadakan sebagai salah satu program bagi Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa 2011 (LIMA '11).

Ahmad Zahid berkata kegiatan lanun di sekitar perairan Somalia merupakan kesan utama masalah politik negara itu.

"Somalia sendiri mendakwa bahawa punca kegiatan ini bermula daripada kegiatan menangkap ikan secara haram dan pembuangan sisa toksik oleh negara-negara lain di kawasan Zon Eksklusif Ekonominya," katanya.

Persidangan meja bulat itu melibatkan enam panglima tentera laut, 14 wakil panglima tentera laut asing dan 249 peserta dari agensi-agensi kerajaan serta wakil industri pertahanan dalam dan luar negara.

Antara isu yang dibincangkan adalah mengenai kerjasama pelaksanaan operasi anti-perlanunan yang dilaksanakan di perairan Teluk Aden oleh negara-negara terlibat.

Persidangan itu turut mengupas aspek-aspek penguatkuasaan undang-undang maritim antarabangsa dalam membanteras masalah perlanunan di Somalia serta perbicangan tentang hala tuju dalam membantu kerajaan peralihan Somalia.

Sementara itu Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dalam ucapan penutupnya berkata kerajaan peralihan Somalia perlu dibantu bagi membolehkan ia mengekalkan keamanan dan kestabilan, dan mewujudkan persekitaran yang boleh membanteras kegiatan pelanunan dan rompakan bersenjata di sekitar perairan Somalia.

"Kita juga memperakui bahawa kejayaan membanteras lanun memerlukan koordinasi berterusan di antara pasukan tentera lautm agensi-agensi berkaitan dan pihak-pihak berkepentingan, di mana yang paling utama ialah dari segi pertukaran maklumat dalam mengoptimum usaha kita supaya lebuh berkesan," katanya.



-- BERNAMA

 
  Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved. Disclaimer.