Brought to you by BERNAMA

   

Selasa, 20 November 2018 
 

 

 

 
 
More sharing of information and close to cooperation among countries in Southeast Asia will help reduce incidences of smuggling and piracy
Agree
Disagree
Not sure
 
 
     
 
Ops Fajar Ke-9 Bunga Mas 5 Bermula
February 28, 2011 19:03 PM

MUSCAT (OMAN), 28 Feb (Bernama) -- Misi kapal Bunga Mas 5 bagi melindungi keselamatan kapal-kapal dagang berkepentingan negara daripada ancaman lanun di perairan Teluk Aden, Somalia, diteruskan dalam Ops Fajar ke-9 yang bermula hari Ahad.

Ops Fajar menggabungkan kekuatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta krew MISC Berhad yang diserapkan ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM).

Kapal Bunga Mas 5 itu, diketuai Komander Kuharaj Jayaraj PSSTLDM bagi tempoh empat bulan, memulakan pelayaran dari Pelabuhan Sultan Qaboos di Oman ke Teluk Aden pada 10 malam tadi (2 pagi Isnin waktu Malaysia).

Walaupun kumpulan itu dijangka pulang ke Malaysia pada Jun bersama kapal Bunga Mas 5 bagi tujuan penyelenggaraan, kapal-kapal berkepentingan negara tetap akan dilindungi oleh anggota Ops Fajar Khas yang terdiri daripada anggota-anggota PASKAL yang akan ditempatkan di kapal-kapal yang melalui perairan itu.

Majlis pertukaran anggota dan krew kapal Bunga Mas 5 yang baru serta penyerahan inventori persenjataan dijalankan di atas kapal dagang itu yang diubahsuai menjadi kapal bantuan tentera itu pada 3 petang waktu tempatan pada Ahad.

Kapten Bunga Mas 5 bagi Ops Fajar ke-8, Komander Mohd Nazri Shariff PSSTLDM, berkata Ops Fajar ke-8 yang bermula Oktober lepas berjaya mencatatkan kejayaan membanggakan apabila Pasukan Perlindungan Kapal (PPK) ATM merampas semula kapal Bunga Laurel yang ditawan lanun Somalia pada 20 Jan lepas dan menahan tujuh lanun.

Katanya, Ops Fajar yang dijalankan oleh TLDM sejak 29 Ogos 2008 terbukti berjaya apabila tiada kapal MISC ataupun kapal berkepentingan lain yang dirampas sepanjang operasi itu.

"Semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh warga ATM serta MISC sejak bermulanya Ops Fajar sangat luar biasa dan ia dibuktikan semasa insiden lanun menawan kapal Bunga Laurel yang menyaksikan setiap daripada kami termasuk pasukan khas amat dedikasi dalam misi menyelamat krew dan merampas kembali kapal tersebut," katanya.

Beliau berkata kehadiran Bunga Melati 5 bagi mengiringi kapal-kapal dagang Malaysia amat dihargai oleh syarikat-syarikat kapal itu termasuk dari negara luar apabila ada kapal dagang asing yang turut menyertai kumpulan Bunga Mas 5 menyebabkan lanun tidak berani mendekati.

"Kalau sebelum ini bila satu-satu kapal dagang hendak melalui Teluk Aden, perasaan mereka tidak tenang kerana ada antara krew dan anak kapal pernah melalui pengalaman ditawan lanun tetapi apabila Bunga Mas 5 mengiringi dan meletakkan anggota PPK ATM dalam kapal mereka, mereka berasa lebih selamat, malah menghargai usaha yang dijalankan oleh kita," kata Mohd Nazri, 38, yang sebelum ini turut mengetuai Ops Fajar ke-5.

Katanya lanun-lanun di perairan itu dipercayai datang dari wilayah kurang maju seperti Somalia dan bukan dari negara terdekat seperti Oman dan Yaman.

"Sebenarnya perairan Oman sendiri selamat dan mempunyai penguatkuasa maritim," katanya.

Ops Fajar dilancarkan ekoran insiden rampasan dua buah kapal milik MISC iaitu Bunga Melati Dua dan Bunga Melati Lima di perairan itu pada Julai 2008 sebelum Bunga Mas 5 yang sebelum itu merupakan kapal dagang milik MISC diubahsuai menjadi kapal bantuan TLDM.

Perkongsian dengan menyerapkan satu daripada kapal MISC ke dalam inventori TLDM bagi melaksanakan penugasan operasi ini, merupakan satu langkah penyelesaian jangka panjang terhadap keselamatan dagangan bagi memastikan kepentingan negara di perairan Teluk Aden tidak diancam.

Wartawan Bernama dan krew stesen televisyen TV3 turut menyertai pelayaran Ops Fajar ke-9 dalam menyaksikan sendiri operasi kapal Bunga Mas 5 dalam penugasan mengiringi kapal-kapal dagang daripada kemungkinan ditawan lanun Somalia di perairan Teluk Aden.

-- BERNAMA

 
  Copyright 2018 BERNAMA. All rights reserved. Disclaimer.