Brought to you by BERNAMA

   

Selasa, 21 Oktober 2014 
 

 

 

 
 
More sharing of information and close to cooperation among countries in Southeast Asia will help reduce incidences of smuggling and piracy
Agree
Disagree
Not sure
 
 
     
 
Kapal Perang Terbesar Dunia Bagaikan Lapangan Terbang Terapung
February 26, 2006 11:17 AM


LAPANGAN TENTERA TERAPUNG… Kapal perang terbesar di dunia, USS Ronald Reagan ketika belayar di tengah-tengah Laut China Selatan.Panjang kapal perang itu ialah 333m hampir menyamai ketinggian Bangunan Empire State di New York.Foto: US Navy

Oleh Sakina Mohamed

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Belayar dengan kapal USS Ronald Reagan bagaikan berada di atas lapangan terbang tentera yang terapung. Pengalaman itu dirasai semasa berdiri di geladak landasan kapal perang paling besar di dunia, USS Ronald Reagan di tengah-tengah Laut China Selatan.

Geladak landasan kapal induk pesawat udara itu meliputi kawasan seluas 1.82 hektar dan panjangnya 333m hampir menyamai ketinggian Bangunan Empire State di New York.

Pemandangannya amat menakjubkan - pesawat perang berlepas dan mendarat di atas geladak landasan sepanjang hampir tiga kali padang bola sepak, di atas sebuah kapal perang 20 tingkat yang tersergam di permukaan air.

Namun lebih menyeronokkan ialah menaiki salah sebuah pesawat perang itu semasa berlepas dan mendarat. Contohnya pesawat C-2A Greyhound.

Memanglah mendarat semasa menaiki pesawat kelas Nimitz kesembilan itu tidaklah selancar kapal terbang penumpang biasa. Ini kerana kapal terbang itu tidak boleh bergerak di atas landasan melebihi 400 kaki sebelum berhenti sama sekali.

Sebaliknya, kenderaan itu berhenti mengejut daripada kelajuan kira-kira 240kph dibantu kabel penahan. Bayangkanlah apa yang berlaku kepada penumpang ekoran kejutan yang tiba-tiba itu.

Berlepas daripada kapal perang berkuasa nuklear itu lebih mendebarkan. Pesawat udara seperti "dilastik" supaya terbang terus ke angkasa, bukannya meningkatkan ketinggian secara beransur-ansur.

Terdapat empat pelancar berkuasa wap di atas Ronald Reagan, setiap satunya amat canggih untuk melancarkan sebuah pesawat seberat 30,000kg dari 0 ke 264kmph ke paras 250 kaki ke udara dalam masa tidak lebih dari dua saat.

Greyhound merupakan sebuah daripada lebih 80 pesawat tempur di atas Reagan, yang juga dikenali sebagai CVN76. Pesawat lain termasuk generasi kelima pesawat pejuang F/A-18E/F Super Hornet, pesawat taktikal pelbagai misi F/A-18 Hornet, EA-6B Prowler, SH-60 Seahawk yang mengesan dan menyerang kapal selam serta pesawat amaran awal di udara E-2C Hawkeye.

Antara lain kapal induk pesawat udara itu turut dilengkapi peluru berpandu "Rolling Airframe Missiles (RAM)" bagi menggantikan "Close-In Weapons System" yang digunakan pada pengangkut sebelum ini, "NATO Sea Sparrow Missiles", meriam dan peranti lain untuk peperangan elektronik.

Dua reaktor nuklear yang ada membolehkan kapal pengangkut itu beroperasi lebih 20 tahun tanpa pengisian semula dan bergerak pada kelajuan lebih 30 knot dengan bantuan empat kipas gangsa, setiap satunya 6.4 meter panjang dan dua kemudi masing-masing berukuran 7.9 meter kali 6.7 meter.

Pegawai Pemerintah Kapten Terry Kraft berkata terdapat kira-kira 6,000 krew di atas kapal semasa menjalankan operasi dengan purata umur 22 tahun.

Sebagai kediaman yang menempatkan penghuni sebanyak itu, bermakna kira-kira 20,000 sajian dihidangkan setiap hari - bukanlah tugas mudah bagi sebuah kapal perang yang membawa cukup makanan dan bekalan untuk beroperasi selama 90 hari tanpa perlu menambah semula bekalan.

Semasa kapal pengangkut itu singgah sebentar di Laut China Selatan baru-baru ini, penulis berpeluang meninjau ke ruang makan untuk melihat apa yang dinikmati kelasi pada hari biasa. Tempat itu menarik, luas dan lengkap dengan kemudahan menikmati jus, soda dan salad serta pelbagai jenis aiskrim, pastri dan kudapan - selain menu utama.

Kelasi juga dilihat menikmati makan tengah hari sambil menonton siaran langsung acara sukan "Superbowl" yang amat popular di Amerika Syarikat menerusi TV satelit sungguhpun mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada siaran itu bagi mengetahui perkembangan terkini dunia kerana kapal itu mempunyai akhbar sendiri, stesen radio dan TV yang menyediakan berita serta maklumat dari seluruh dunia.

Seperkara lagi yang menarik perhatian semasa menjelajahi kapal itu ialah pakaian seragam beraneka warna yang dipakai oleh semua krew, menandakan bidang tugas masing-masing.

Mereka yang berbaju kuning mengarahkan pergerakan pesawat, putih mengendalikan tugas berkaitan keselamatan seperti pemeriksaan akhir kapalterbang, hijau memasang pesawat kepada pelancar dan mengendalikan kabel penahan manakala ungu mengisi semula bahan bakar pesawat.

Petugas berbaju perang pula adalah juruterbang yang mengawasi setiap pesawat, biru menyendal dan mengunci pesawat kepada kedudukan serta memandu traktor untuk menariknya, merah mengendalikan senjata dan peluru manakala yang memakai baju perak mengendalikan kemalangan dan kebakaran kapalterbang.

Umpama sebuah bandar kecil, kapal itu turut menempatkan pejabat pos sendiri yang memproses 455,000kg surat setiap tahun, sebuah jabatan pergigian yang dianggotai lima doktor gigi dan seorang pakar bedah oral, sebuah wad hospital dilengkapi 63 katil dengan lima doktor dan sebuah gereja kecil beserta tiga paderi.

Bagi bekalan air bersih, anak kapal bergantung kepada loji penyulingan di kapal itu yang membekalkan 400,000 gelen air sehari - cukup untuk disalurkan ke 2,000 buah rumah. Kapal berkenaan turut dilengkapi 30,000 lampu, 1,400 telefon dan kabel serta wayar sepanjang 1,325 batu. Kesemuanya berfungsi dengan bantuan generator turbin wap bagi menghasilkan elektrik yang mampu menerangi sebuah bandar kecil.

Berapakah kos untuk mengendalikan kapal sebesar itu yang dinamakan sempena bekas presiden Ronald Reagan? Menurut laman webnya kira-kira US$250,000 dibelanjakan setiap hari bagi operasi sebelah dermaga dan US$2.5 juta untuk operasi semasa pelayaran.

Mungkin jumlah itu boleh dijangkakan untuk mengendalikan sebuah kapal yang kos pembinaannya sahaja mencecah US$4.5 bilion.

Kapal pengangkut itu, yang ditauliahkan pada 12 Julai, 2003 bagi menggantikan pengangkut konvensional berusia 40 tahun USS Constellation (CV-64), berpangkalan di San Diego, California. Kapal itu berlepas untuk tugasan sulungnya pada 4 Jan tahun ini, dengan perhentian pertamanya di Brisbane, singgah di Laut China Selatan awal bulan ini dan kemudian meneruskan pelayaran di destinasi yang tidak ditentukan.

-- BERNAMA

 
  Copyright © 2014 BERNAMA. All rights reserved. Disclaimer.