Brought to you by BERNAMA

   

Rabu, 23 Julai 2014 
 

 

 

 
 
More sharing of information and close to cooperation among countries in Southeast Asia will help reduce incidences of smuggling and piracy
Agree
Disagree
Not sure
 
 
     
 
Polis Marin Banteras Operasi Bot Pelancong Haram
February 02, 2006 20:14 PM

LUMUT, 2 Feb (Bernama) -- Polis Marin Perak menahan tujuh buah bot dan sebuah feri dalam "Ops Octopus Khas" di perairan Lumut serta Pulau Pangkor sejak Selasa lepas bagi membanteras kegiatan membawa penumpang dan pelancong tanpa lesen.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Perak, DSP Salehuddin Mat Zaman berkata sembilan pemandu bot berusia antara 19 dan 60 tahun turut ditahan dalam operasi itu.

"Operasi khas itu dilancarkan bagi menguatkuasakan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 berikutan maklumat daripada orang ramai bahawa banyak pengusaha menjalankan operasi secara haram membawa pelancong pada musim cuti di pulau peranginan Pangkor," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Polis Marin Perak di Kampung Acheh di sini Khamis.

Beliau berkata feri yang ditahan itu milik sebuah daripada tiga syarikat feri penumpang Lumut-Pangkor yang beroperasi di sini dan merupakan sebuah feri lama yang telah dibatalkan lesennya.

Beliau berkata feri lama itu dipercayai digunakan kerana feri sedia ada tidak mampu menampung kehadiran pelancong yang tinggi sepanjang musim cuti Tahun Baru Cina.

Salehuddin berkata feri itu ditahan dalam pemeriksaan kira-kira 1 tengah hari Rabu dan 110 penumpang terdiri daripada pelancong tempatan serta asing dari Hong Kong dan Taiwan diarah mengosongkannya.

Beliau berkata dalam operasi di sekitar beberapa pantai peranginan di Pulau Pangkor pula pada Selasa dan Rabu, tujuh buah bot didapati beroperasi secara haram membawa pelancong bersiar dan memancing.

Katanya feri dan tujuh bot penumpang itu ditahan mengikut Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa lesen bot yang sah serta nakhoda yang tidak diiktiraf dan kes itu diserahkan kepada Jabatan Laut untuk tindakan selanjut.

"Tekong dan operator bot berkenaan akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 474 (2) ordinan yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara," katanya.

Salehuddin berkata tindakan pengusaha terbabit akan menjejaskan imej dan industri pelancongan negara kerana penumpangnya tidak mempunyai perlindungan insurans jika berlaku nahas.

Beliau menasihati orang ramai supaya memastikan bot yang mereka naiki mempunyai lesen dan dikendalikan operator bertauliah bagi mengelak sebarang kesulitan.

Dalam perkembangan lain, Salehuddin berkata pihaknya membanteras cubaan menyeludup benih kerang ke negara jiran dalam pemeriksaan terhadap sebuah lori di sebuah jeti nelayan di Manjung Rabu.

Katanya seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan dan 200 kilogram benih kerang bernilai kira-kira RM4,000 dirampas.

Siasatan awal mendapati benih kerang berkenaan boleh dijual dengan harga kira-kira RM16,000 jika berjaya diseludup keluar ke negara jiran, katanya.

-- BERNAMA

 
  Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved. Disclaimer.